Benar Bebas Atau Bebas Bermuka?
Hamba itu, wajahnya kelihatan redup sayu, senyumannya manis menyejuk kalbu. Kata-katanya berhemah tersipu-sipu, namun bila didengari lembut merdu. Kelakuannya sopan tak menongkat dagu, hanya kadang tertunduk tanda malu. Hal ini membuatkan sesiapa sahaja yang baru mengenali hamba itu berasa cemburu dengan budi pekerti sebegitu. Perbualan hamba itu bersama kelompok tertentu, kadang-kadang menjadi kaku.
Setelah itu, hamba tadi kembali kepada rutin hariannya, menelaah buku dan juga muka buku. Notifikasi yang terkumpul dibukanya satu-persatu dan dibacanya setiap isu. Kemudian, dia menggerakkan jari-jemarinya untuk mengulas beberapa isu. Namun, kata-kata tulisannya kelihatan tidak sama seperti kata-kata lisannya. Perkataan-perkataan yang jelik serta hina diluahkan bagi memburuk serta mengherdik sifat orang tertentu, seakan menghukum kesalahan peribadi seseorang itu. Hamba itu seakan mempunyai dua identiti berbeza yang menipu.
Adakah seseorang hamba itu kebanyakkannya mempunyai dua identiti?
Di samping itu, dalam kelompok realiti hidup hamba, terdapat banyak lagi contoh-contoh hamba yang bersifat sedemikian. Boleh jadi, seseorang hamba yang ingin memuji manusia akan terdorong untuk berdusta apabila terlalu ingin menyebut kebaikan seseorang. Tambahan lagi, apabila ingin meminta maaf dia juga akan terdorong untuk berdusta kerana kesalahannya dan berusaha membebaskan diri dari akibatnya. Selain itu, ada juga yang mengatakan sesuatu dan menghubungkannya kepada sang Pencipta dan baginda rasul, sedangkan bukan daripadaNya dan baginda rasul.
Ini mungkin sebahagian contoh-contoh hamba yang wujud dalam masyarakat. Hamba itu seakan-akan bebas dari manusia kerana dapat melakukan sesuatu perkara hasil dari kebijaksanaan akalnya. Dia merasa bebas, seperti lepasnya hamba itu daripada ikatan manusia tuhan. Walaupun, inilah yang dituntut oleh sistem kehidupan tertinggi yang dibawa oleh baginda rasul. Namun, sebenarnya cara memutuskan ikatan daripada manusia tuhan bukanlah dengan menipu dan ia harus pula diikat kepada tuhan Pencipta.
Adakah mempunyai dua identiti bermakna seseorang hamba itu telah menipu?
Ramai yang telah tertipu dengan sifat luaran pada hamba itu. Sifat hamba itu tidak ubah seperti seorang yang hipokrit. Menurut kamus dewan, hipokrit bermaksud "(Orang yang) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yang) memperlihatkan keadaan diri yang berlainan dari yang sebenarnya; munafik". Jika hipokrit itu adalah munafik, maka tanda-tandanya adalah seperti kata baginda rasul, "Tanda-tanda orang munafiq itu tiga, apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji dia ingkar, apabila diberi amanah dia khianat".
Tetapi, hamba itu mungkin berpendapat bahawa, dia tidak melakukan seperti apa yang disabitkan sebagai sifat munafik itu. Padanya dunia maya seakan fantasi yang membolehkan sesorang itu menjadi individu yang lain. Maka, digunakannya nama samaran yang berbeza di muka buku demi untuk menjadi seseorang yang lain. Hamba itu sepertinya telah lelah menipu di dunia nyata, lalu terluah kata-katanya tadi ke dunia maya. Sebenarnya, bicara kata di tulisan itu adalah sama seperti bicara kata di lisan. Kedua-duanya harus dijaga dari sifat munafik itu.
Siapakah sebenarnya seseorang hamba itu telah menipu?
Tanpa hamba itu sedari, sikapnya yang sebegitu sebenarnya bukan sahaja menipu orang lain, bahkan menipu dirinya sendiri dan yang paling besar, dia menipu sang Pencipta. Hamba itu seakan-akan tidak mengenali dirinya sendiri atau tidak mahu mengaku kelemahan dirinya. Dalam perjalanan seseorang hamba untuk berubah menjadi lebih baik, ia harus bermula dengan mengaku kelemahan diri, bukan sembunyi atau lari dari mengenali kelemahan diri itu. Ini adalah kunci kepada penjara yang terbina di dalam diri hamba itu.
Di samping itu, apabila seseorang hamba itu bersendirian dengan sesuatu perkara yang menerujakan, kadang kala mereka menjadi lupa dan leka dengan pengawasan sang Pencipta. Seseorang hamba itu harus sentiasa ingat dan sedar bahawa setiap tindakkannya tidak kira masa dan di mana, sang Pencipta sentiasa memerhatinya. Apabila hati hamba itu mula dapat menerima kelemahan diri dan diawasiNya, maka hatinya kini akan mula sedar. Hamba itu akan mula sedar dengan kebebasan dirinya mengikut keinginan fitrahnya.
Apakah berbeza di antara dua kebebasan hamba itu?
Hati hamba yang mengikut hawa nafsu akan sentiasa menginginkan sesuatu ganjaran dari manusia. Walaupun dia bebas, tapi keinginan nafsu itu akhirnya telah mengarah segala tindak tanduknya walau menyalahi sistem kehidupan tertinggi. Dia sanggup bebas di mata manusia walaupun dia sedar keinginan fitrahnya meronta. Gelojak di dalam diri dibiar tak endah, tekanan perasan serta kecaluran fikiran mula menghantui minda. Ya, hamba itu bebas, tetapi hamba itu keseorangan kerana hatinya kosong tanpa keinginan fitrah yang tertunai.
Manakala, hati hamba yang bebas akan melakukan sesuatu perkara dari rasa keinginan fitrahnya. Dia tidak akan melakukan sesuatu perkara di luar dari keinginannya, hanya kerana mahu mendapat perhatian manusia yang lain. Dengan hati yang sedar, pandangannya tidak terkesan dengan kemodenan seperti cara berpakaian, cara bercakap dan berfikir. Hamba itu akan tetap dengan caranya tanpa goyah, mengikut sistem kehidupan tertinggi yang diwarisi sejak dari zaman baginda. Hati yang sedar itu juga sentiasa memahami dan akan menjauhi penjajahan licik yang akan memakan minda yang lemah jati diri.
Maka, ambillah pelajaran dari kata-kata baginda rasulullah (SAW):
Baginda rasul pernah ditanya, mafhumnya berbunyi; "adakah boleh seorang mukmin itu bersifat penakut?" Baginda menjawab "Ya, mungkin." Baginda ditanya lagi, "adakah boleh ia bersifat kedekut?" Baginda menjawab, "Ya, mungkin." Baginda ditanya lagi, "adakah boleh ia bersifat pendusta?" Baginda menjawab, "Tidak, tidak mungkin.". Dalam riwayat lain, Baginda bersabda dan ertinya: "Dalam diri seorang mukmin boleh terdapat seluruh sifat (baik atau buruk) melainkan sifat khianat dan bohong." (Hadith Riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu bersikap jujur kerana sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, sementara kebaikan itu membawa ke syurga. Tidaklah seseorang sentiasa bersikap jujur dan berusaha keras memilih jalan kejujuran, melainkan dia nantinya akan dicatat sebagai orang yang jujur di sisi Allah ta'ala. Jauhilah kebohongan kerana sesungguhnya dia membawa kepada keburukan (fujuur), sedangkan keburukan itu menghantarkan orang ke neraka. Tidaklah seseorang sentiasa bersikap dusta dan memilih jalan kedustaan melainkan dia nantinya akan dicatat sebagai pendusta di sisi Allah ta'ala (Hadith Riwayat Muslim)
.jpg)
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete