Isi Yang Merosakkan Bekasnya
Terdapat banyak objek yang ingin dikecapi oleh manusia yang berada di atas muka bumi ini. Setiap objek tersebut dimasukkan ke dalam sebuah bekas yang mampu memenuhi segala keinginannya. Bekas itu melimpah penuh dengan pelbagai macam objek yang ada; ada yang kukuh kuat dan ada juga yang lemah atau mudah pecah. Selain itu, bekas tersebut juga diisi dengan objek yang baru dan juga objek yang lama. Segalanya bercampur aduk dan tidak dikelaskan mengikut sifatnya. Namun, selagi objek-objek tersebut termasuk di dalam bekas yang sama, ia tidak merisaukan hamba itu.
Raihlah segala apa yang mampu diusahakan di dunia ini tanpa melupakan keperluan sebenar di akhirat.
Suatu objek itu diisi di dalam sesebuah bekas kerana untuk mengasingkan objek tersebut daripada sesuatu benda yang lain dari kehendak seseorang. Sebarang percampuran objek-objek tersebut di dalam sebuah bekas adalah harus dan diraikan. Pelbagai jenis bekas yang boleh digunakan untuk menyimpan objek-objek tersebut; sama ada sebuah kotak, sebuah bekas plastik atau sebuah raga. Namun, bagi mengisi bekas dengan kepelbagaian jenis objek itu, sebuah bekas yang kukuh adalah suatu ciri yang diperlukan untuk melindungi benda-benda tersebut.
Berdasarkan daripada ciri bekas yang diperlukan, bekas plastik adalah sebuah bekas yang paling ideal untuk digunakan. Hal ini kerana, bekas plastik adalah sebuah bekas yang mampu melindungi objek-objek kecil daripada tercicir dan ianya juga kukuh. Walaupun begitu, sebuah kotak juga mampu mengepung sebarang objek daripada tercicir tetapi ia tidaklah sekukuh bekas plastik dan mudah rosak. Manakala sebuah raga pula sudah pasti tidak menjadi pilihan kerana tidak kukuh dan tidaklah mengepung segala objek dengan baik.
Namun, apa yang terjadi bekas plastik tersebut tidak berfungsi seperti apa yang diharapkan tetapi berubah menjadi seperti sebuah raga. Bekas plastik yang dipercayai dapat mengasingkan objek-objek tersebut, akhirnya pecah dan tidak dapat menghalang objek-objek itu daripada bercampur dengan benda asing. Keretakkan pada bekas, akhirnya membuatkan objek-objek tersebut bebas gembira dari keserabutan bekas itu. Ia merasa lepas dari kongkongan tetapi menjadi cair dan rosak kerana bendalir-bendalir asing yang rakus meresapi objek-objek yang mendekatinya.
Sudah menjadi lumrah suatu ciptaan, walau sehebat mana sesuatu benda tersebut diciptakan pasti akan ada jangka hayatnya yang tertentu. Justeru itu, walau sekukuh mana bekas yang dipilih, ia tetap perlu dijaga dengan sebaiknya. Keharmonian di antara objek-objek di dalam bekas tersebut juga mestilah dipupuk dan dipandu dengan susunan yang baik. Jika tidak, objek-objek tersebut akan merosakkan bekas yang didiaminya tanpa ia sedari. Natijahnya, apabila semua perkara tersebut tidak lagi dilakukan dan dikawal, maka bekas itu sendiri tidak lagi berfungsi untuk melindungi bahkan akan merosakkan isinya.
Mungkin ada yang berpendapat, kesilapan utama adalah kerana tidak mengelaskan objek-objek tersebut di dalam bekas-bekas yang berlainan. Namun, jika seseorang hamba itu hanya diberikan pilihan untuk memilih salah satu di antara tiga bekas-bekas tersebut untuk dimerdekakan oleh tuannya, apakan daya? Yang pasti, dia telah membuat penilaian yang baik dengan memilih bekas tersebut untuk melindungi kesemua objek-objek tersebut. Cuma silapnya, objek-objek itu harus di susun di dalam bekas, dengan yang besar di bawah menaungi yang kecil di atas.
Sangat mengejutkan seseorang hamba itu apabila kebanyakkan masalah timbul datang dari objek yang kecil. Kelebihan objek kecil di atas ini, telah memijak objek besar di bawah, sedangkan objek besar selama ini duduk di bawah tidak lain adalah bagi mengekalkan kestabilan dan mempertahankan kekuatan bekas yang menaungi mereka bersama. Tidak cukup dengan itu, objek kecil ini telah mencelah ke bawah dan mencari rekahan-rekahan yang mampu menunjukkan kelemahan objek besar itu. Mereka seharusnya menerima kelainan saiz di antara mereka dan berperanan sewajarnya, demi menjaga bekas yang menaungi mereka.
Hormatilah susunan yang telah ditetapkan dan bekerjasamalah demi menjaga bekas yang diduduki bersama.
Janganlah menjadi barang yang merosakkan bekasnya, tempat di mana diri dilindungi dari pelbagai ancaman dan kerosakkan di luar bekas itu. Bersyukurlah kerana masih mempunyai tempat berlindung dan bertolerasilah sesama objek dengan meraikan kepelbagaian saiz bersama. Kalau objek kecil itu mampu untuk memilih bekas yang lain seperti kotak atau raga, silakan kerana tiada siapa yang menghalang ia untuk keluar ke bekas yang lain melainkan benda kecil itu sendiri selamanya tidak akan mempunyai kuasa untuk membuat pilihan itu.




0 comments:
Post a Comment