Takut Kerana Bodoh, Tahu Kena Berani

Apa-apa perkara yang manusia takutkan itu, kebiasaannya adalah sesuatu perkara yang manusia itu tidak tahu. Manusia takut akan kegelapan kerana mereka takut akan keadaan sekeliling yang tidak mereka ketahui. Pelbagai perasaan dan fikiran mula menjelma apabila manusia itu tidak tahu akan sesuatu. Mereka akan terfikir, adakah ada duri di depan, atau ada kelawar di belakang atau mungkin ada kelapa yang akan jatuh dari atas kepala mereka.

Manusia itu pada masa lalunya takut untuk belayar kerana menyangka bumi ini rata. Tetapi, setelah manusia itu mengetahui bahawa bumi ini bulat, mereka mula keluar mengembara dan mengaut segala apa dari keinginan diri mereka. Kemudian, mereka menjadi lebih berani dalam melakukan sesuatu perkara sehingga menjadi tamak lalu menindas manusia yang lain kerana masih ketinggalan dalam pengetahuan.












Apakah jenis-jenis manusia yang lahir di sebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku ini?

Ketakutan manusia itu telah menjadikan mereka tidak bergerak atau berkembang dari pencapaian yang telah mereka perolehi. Mereka lebih selesa untuk menjauhi sebab-sebab ketakutan daripada menghilangkan penyebab kepada ketakutan itu. Justeru, mereka lebih sanggup untuk menanggung perit kejahilan daripada menanggung payahnya menuntut ilmu, seperti kata Imam As-Syafii. Akhirnya, mereka lebih rela menjadi pengikut kepada telunjuk orang lain daripada memahami sesuatu dengan sendiri.

Malangnya hari ini, manusia yang banyak mengetahui sesuatu perkara itu adalah di kalangan mereka yang tidak mengamalkan sistem kehidupan berlandaskan wahyu tetapi berlandaskan nafsu. Perasaan cukup dengan menjadi manusia yang hanya tahu menunggu kejayaan sesebuah pengetahuan, akhirnya melepaskan banyak peluang kepada mereka. Mereka menjadi semakin berani bersuara dan bongkak walaupun ilmu yang diperolehinya bercampur aduk dengan kejahilan.

Apakah pengajaran yang dapat diambil dari jenis-jenis manusia ini?

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya sesuatu ilmu itu dikuasai oleh mereka yang bersih dari pengaruh hawa nafsu dan keinginan diri. Mereka yang bersama sistem kehidupan berlandaskan wahyu ini perlulah berusaha menguasai ilmu dengan melakukan kajian dengan mendalam supaya dapat mengatasi suara mereka yang berilmu tapi bertuhankan hawa nafsu. Kefahaman yang mendalam adalah amat penting bagi memelihara diri dari salah mengikut telunjuk mereka yang terseleweng.

Kemudian, mereka haruslah pula mempamirkan diri mereka dengan berani dan menyampaikan pengetahuan mereka kepada manusia yang lain. Suara mereka seharusnya lebih kuat daripada mereka yang hanya tahu lantang bersuara berlandaskan akal fikiran semata supaya dapat melindungi kekeliruan di kalangan manusia yang lain. Apalah guna ilmu di dada jika tidak mampu yakin untuk mengeluarkan sesuatu hasil, tetapi masih lagi mengikut di belakang kemajuan orang yang berilmu dengan kejahilan.

Apakah kepentingan lain bagi mereka yang berilmu untuk berani bersuara?

Berlandaskan tuntutan wahyu, selain daripada dapat menghasilkan sesuatu perkara yang ma'ruf seperti mewujudkan perbankan islam, perundangan syariah (hudud) dan pelopor kepada hab halal, mereka juga perlu bersuara untuk menegah kemungkaran. Ilmu itu bukan sahaja relatif untuk dibanding-bandingkan kebenarannya, tetapi terdapat juga ilmu yang telah tetap dan tidak dapat dipersoalkan. Jadi mana-mana perkara yang menyalahi dan bertentangan dengan kebenaran seharusnya ditolak oleh mereka yang berilmu dan bukannya diraikan lagi oleh mereka.

Apakah yang dapat disimpulkan dari kedua golongan manusia ini?

Kesimpulannya, apabila manusia itu memilih untuk menjadi orang yang bodoh, maka dia akan memilih untuk menjadi penakut. Manakala manusia yang memilih untuk menjadi orang yang tahu, maka dia haruslah pula menjadi seorang yang berani kerana kebenarannya. Berani pada kebenarannya bererti bukan sahaja dengan menyebarkan kebaikan ilmu sahaja, tetapi juga dengan menghalang mereka yang merosakkan dan menyelewengkan ilmu dari berleluasa. 

Oleh itu, mulakan dengan diri sendiri untuk menjadi orang yang tahu serta berilmu supaya tidak lagi menjadi seorang pengikut. Boleh jadi, diri itu salah mengikut telunjuk kerana ketiadaan ilmu untuk menilai. Selain itu, jadilah orang yang berani mengatakan sesuatu kebenaran walaupun ianya pahit untuk orang lain menerima walau akibatnya dibenci oleh orang lain. Akhir sekali, sampaikanlah walaupun hanya satu ayat dengan berani kepada manusia yang lain.

0 comments:

Post a Comment