Masjid Lurus, Kiblat Serong

Beribu-ribu bangunan usang tersusun rapat di bumi kinanah. Bandar yang terkenal sebagai kota seribu menara itu, kotanya tersusun dalam barisan-barisan yang panjang dengan jalannya yang sempit. Kepadatan bangunan yang dibina ini, adalah berikutan dari jumlah penduduk yang ramai tertumpu di suatu kawasan. Bukan itu sahaja, malah mereka perlu membina pelbagai jenis bangunan lain bagi menampung keperluan mereka. 

Antara bangunan yang banyak dibina dalam kepesatan kota itu adalah seperti rumah-rumah, pusat-pusat bahasa dan tahfiz, masjid-masjid, kedai-kedai makanan, kedai-kedai pakaian serta pasaraya. Selain itu, gudang-gudang pakaian dari Cina dan restoran-restoran Syria juga mula berkembang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini, menjadikan deret-deret jalan yang sempit itu sesak kerana mereka meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan tersebut.

Adakah masjid di bumi anbiya' itu juga lurus bersama bangunan yang lain?


Masjid di Mesir, kebanyakannya lurus bersama bangunan-bangunan lain yang dibina. Kedudukannya pula, sungguh dekat dan mudah untuk dikunjungi oleh penduduk yang berdekatan. Mereka tidak memerlukan kenderaan apa pun untuk sampai ke situ. Penduduk kawasan dan pekerja-pekerja kedai di sekitar masjid itu, kebiasaannya akan memberhentikan segala urusan mereka lalu ke masjid pada setiap waktu sembahyang.

Kehidupan harian mereka yang menuntut supaya beribadah sehari lima kali ini, telah menjadikan mereka sentiasa sedia berwudhuk dan dapat bergegas ke masjid pada bila-bila tiba waktunya. Persaingan yang tinggi di kalangan penduduk negara yang ramai ini, telah menjadikan mereka cukup sibuk lalu leka dengan arus semasa sehingga mereka terlupa untuk melihat permasalahan yang berlaku di sekitar kehidupan mereka. 

Apakah masalah yang timbul apabila masjid itu dibina lurus bersama bangunan lain?

Apabila tiba hari jumaat, orang ramai akan datang ke masjid hingga penuh dan berlimpah keluar kerana kepadatannya. Mereka kemudiannya boleh memilih sama ada untuk pergi ke masjid yang lain atau duduk di luar masjid walau terpaksa berpanas di bawah terik mentari bumi anbiya' itu. Namun, kebannyakkan mereka akan memilih untuk terus kekal di situ, kerana lebih senang untuk mereka kembali menyambung kerja-kerja yang terhenti seketika tadi.

Walaupun begitu, mereka meluruskan saf di luar masjid mengikut garis bangunan itu tanpa melihat arah kiblat dari dalam masjid. Hal ini kerana, ramai yang menyangka kiblat masjid itu akan lurus bersama bentuk masjid itu dan mengikut arus yang di bawa oleh orang lain, meskipun kiblat yang sebenar adalah serong dari garis lurus bangunan-bangunan itu. Hanya mereka yang mengetahui arah kiblat yang sebenar akan merasai pertembungan yang dibawa oleh arus penduduk itu.

Apakah faktor atau sebab-sebab kepada situasi yang terjadi ini?

Orang ramai akhirnya tertipu dengan masjid itu, kerana masjid itu sendiri terlalu naif kerana dibina lurus mengikut arus bangunan di sekelilingnya. Para jemaah masjid itu bukan sahaja salah mengikut kiblat, malah keras mempertahankan kiblat yang salah itu pada orang lain. Kelakuan mereka tidak ubah seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan malah mungkin lebih buruk lagi.

Apakah kesimpulan yang boleh diambil daripada situasi ini?

Hari ini, kebiasaan cara mereka melihat masjid dan kiblat itu telah menebal dan sebati di dalam diri mereka. Pandangan mereka terhadap bentuk masjid dan arah kiblat itu terlalu naif kerana menyangka ia akan sentiasa lurus bersama, sungguhpun kompas kiblat mereka menunjukkan arahnya serong. Malahan, mereka juga tidak mahu atau malas bertanya kepada orang di dalam masjid supaya memberitahu mereka arah kiblat yang sebenar.

Pada siapalah lagi nak diharapkan, jika bukan orang yang benar-benar berada di dalam masjid itu untuk keluar membetulkan mereka dengan apa cara sekalipun. Pak bilal atau imam boleh mengingatkan para jemaah berkenaan arah kiblat sebelum solat atau AJK masjid juga boleh meletakkan papan tanda yang boleh dilihat oleh para jemaah supaya menyerongkan kiblat ke suatu arah.

Apakah pengajaran yang boleh diambil dari situasi ini?

Daripada situasi ini, kita boleh kiaskan atau samakan bahawa pertumbuhan bangunan-bangunan (ideologi/fahaman/agama lain) yang pesat hari ini, seharusnya tidak mempengaruhi kedudukan arah sebenar bentuk masjid (agama islam) yang akan dibina. Hal ini adalah kerana, bagi mengelakkan kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat berkenaan kiblat (kebenaran/pembawaan) sebenar masjid (agama islam) itu.

Adalah menjadi tanggungjawab orang yang berada di dalam masjid itu (orang yang mahir di dalam agama islam) untuk keluar dan menerangkan hal sebenar berkaitan kiblat masjid itu (pembawaan/kebenaran agama islam). Manakala orang yang diluar masjid pula seharusnya mengikuti teguran orang yang di dalam masjid (orang awam merujuk orang agama) dan tidak berkeras dengan kesesatan kiblat mereka (berkeras dengan kejahilannya).

0 comments:

Post a Comment