'Pentingkan Diri' Mulanya Al-Hawa Menguasai


Pernahkah anda terfikir, apakah punca utama bagi permasalahan umat yang akhirnya memperlihatkan Islam itu lemah pada hari ini? Kebiasaannya, seperti yang sedia kita maklum bahawa antara masalah serius yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini adalah kerana umat ini sering kali jatuh terikut dengan hawa nafsu. Umat Islam kalah dengan musuh di dalam diri sendiri sebelum bertempur dengan musuh zahir di alam nyata.

Al-Hawa dari segi bahasa bermaksud 'suka', 'cinta' atau 'kehendak', manakala nafsu pula bermaksud 'jiwa', 'tubuh' atau 'diri seseorang' dan apabila digabungkan, maka 'hawa nafsu' bermaksud dorongan hati yang kuat untuk melakukan perkara yang tidak baik. Kesan negatif yang terjadi daripada hawa nafsu ini adalah umat Islam menjadi lesu dan leka untuk menentang pendokong kuffar di atas muka bumi Allah ini.

Kita Menolak Al-Hawa

Dengan itu, Al-Hawa adalah sesuatu yang perlu ditolak, begitulah seperti yang ditulis oleh Ammar Rashid di dalam bukunya 'Muntolak' (Di Sini Bermula). Seawal dari bab yang pertama lagi, beliau telah menyeru para da'i Islam dan umat Islam secara amnya untuk menolak Al-Hawa. Beliau menyimpulkan bahawa hanya terdapat dua jalan yang boleh dilalui manusia, sama ada jalan menuruti Islam ataupun jalan menuruti selain daripada Islam. 

Seseorang yang telah memilih untuk menuruti jalan Islam, tidak boleh pada masa yang sama menuruti jalan hawa nafsu. Ini kerana tidak mungkin seseorang itu boleh melalui dua jalan yang berbeza pada masa yang sama. Jika hal ini dirasakan terjadi, maka jalan yang dilalui seseorang itu sebenarnya adalah jalan yang menuruti selain daripada Islam dan bukan dari jalan Islam. 

Pendidikan Moden VS Tarbiyyah Islami

Persoalannya, mengapakah hari ini seolah-olah mustahil untuk kita menolak Al-Hawa seperti para sahabat hadapi dan lalui di zaman kegemilangan Islam seperti yang berlaku di dalam sirah nabi? Sedangkan sedari kecil lagi, kita telah dididik untuk mula mengenali apa yang baik dan apa yang buruk untuk diri sendiri. Kemudian, melalui pengalaman-pengalaman yang diperolehi ini ia menjadi satu bentuk panduan dan bekalan bagi diri kita untuk memilih jalan yang betul di sepanjang kehidupan. 

Maka, tidakkah semua ini cukup bagi kita untuk menghindarkan diri daripada terdorong menuruti jalan hawa nafsu? Di manakah silapnya atau kurangnya didikkan yang dilalui oleh umat Islam pada hari ini berbanding tarbiyyah yang dilalui oleh sahabat di zaman Ar-Rasul? Apakah berbeza pendidikan di zaman moden berbanding tarbiyyah Islami?

Pendidikan Moden: Memisahkan Dengan Mementingkan Diri 

Di zaman modenisasi ini, ketinggian ilmu dinilai berdasarkan panduan dari acuan pendidikan barat. Tidak dapat dinafikan, sumber ilmu dan pendidikan yang terkini telah dikuasai oleh Imperialis Barat. Malangnya, sistem pendidikan barat ini dikawal dan perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Persaingan manusia telah berlaku untuk mendapatkan ilmu, maka lahirlah manusia yang mementingkan diri sendiri daripada diri orang lain (individualistik) dan kemudiannya menjadi parah dengan mengumpul kebendaan (materalistik). 

Hal ini bermula apabila mereka hanya memikirkan kebaikan untuk diri mereka sendiri. Malangnya tanpa mereka sedari, keutamaan diri mereka telah menyebabkan mereka tidak lagi mengambil endah tentang apa yang berlaku kepada saudara-saudara Muslim yang lain. Mereka tidak lagi mahu membantu atau menjadi pasif atau lambat dalam memberi pertolongan apabila diperlukan. Boleh jadi bantuan yang diberikan juga tidaklah ikhlas, di mana mereka hanya membantu kerana takut dirinya dipandang serong oleh orang lain. 


Bukan itu sahaja, tidak cukup dengan hanya memenuhi keperluan diri sendiri, umat Islam juga telah berubah menjadi semakin materialistik apabila hanyut dalam memenuhi kehendak kebendaan. Mereka berlumba-lumba dalam mendapatkan harta, pangkat dan wanita dan akhirnya itulah yang menjadi tujuan hidup mereka. Kehidupan umat menjadi sia-sia kerana berputar dalam rutin yang sama, malah lupa akan tujuan hidup yang sepatutnya. Inilah keadaan umat yang cuba dirawat oleh Khalifah Umar Abdul Aziz seperti dalam kata-katanya:
"Sesungguhnya aku sedang merawat satu urusan yang tiada siapa yang dapat menolongnya melainkan Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang kecil telah membesar, orang a'jam telah mahir berbahasa arab dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama."
Begitulah yang terjadi kepada umat Islam, kehidupan mereka ditentukan dalam acuan hidup yang sama oleh musuh Islam. Umat hidup dalam putaran hidup yang sama dan mewariskan perjalanan hidup mereka dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Kehidupan generasi umat Islam masa kini sangat jauh dari maksud Islam sebenar yang difahami oleh umat Islam masa lalu.

Tarbiyyah Islami: Menyatukan Dengan Persaudaraan Dan Kerjasama

Manakala tarbiyyah Islam pula adalah sebuah bentuk pendidikan yang lengkap tidak terhenti dengan sekadar pembinaan diri, tetapi meliputi dengan pembinaan keluarga, masyarakat, negara dan juga antarabangsa. Pandangan jelas dan jauh di dalam sistem Islam ini menyedarkan kita bahawa umat manusia tidak dapat berkembang tanpa mewujudkan kerjasama sesama manusia. Dengan kefahaman ini di kalangan umat Islam, akhirnya mereka bersatu dengan ukhwah persaudaraan tanpa menghiraukan latar belakang yang berbeza. 

Setelah ukhwah terbina di kalangan umat, maka tarbiyyah Islam mengajak mereka untuk hidup secara berjemaah iaitu hidup secara tersusun dan berorganisasi bagi merancang dan berbincang kehidupan bersama. Setiap perkara yang dilakukan bersama dan inilah yang dipanggil sebagai amal jam'i, di mana setiap individu mungkin mempunyai tugas yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama. 


Oleh itu, dapat kita fahami bahawa seseorang yang berpendidikan moden kurang menghayati detik-detik menyentuh dalam hidupnya, malah jiwanya terasa kosong walaupun telah banyak tujuan-tujuan hidup keduniaannya tercapai. Mereka cuba mengisi kekosongan tersebut berdasarkan apa yang difikirkan oleh akal, namun ianya mungkin telah bercampur dengan kepentingan diri dan hawa nafsunya. Maka lahirlah pelbagai ideologi dan fahaman yang mereka rasa baik pada diri mereka, tetapi sebenarnya tidak bahkan menghuru-harakan masyarakat. 

Ummat Islam hari ini perlu diisi dengan tarbiyyah Islam bagi mereka merasai hakikat sebenar kehidupan di dunia ini. Sebagai hamba kepada tuhan yang Maha Pencipta, maka mereka perlulah mematuhi setiap suruhan dan larangaNya. Di samping itu, mereka perlu sedar bahawa tugas mereka juga adalah untuk memimpin dunia dengan syariat Ilahi bukannya dipimpin oleh hawa nafsu. Oleh itu, umat Islam tidak boleh lagi mementingkan diri, kerana ada hawa nafsu yang perlu ditolak dan ada suruhan Allah yang wajib dipatuhi. 

Larutan Dari Bahan Larut Terbaik

Melihat kepada realiti masyarakat hari ini, sebagai ibu bapa pasti menginginkan anak-anak mereka dididik dengan ajaran Islam yang sebenar. Ibu bapa yang faham pasti mengharapkan anak-anak mereka dijauhi dari kesesatan fahaman-fahaman falsafah dan agama yang wujud di zaman ini. Orang-orang terdahulu ada menyebut; "bayi yang baru lahir itu bersih ibarat kain putih, maka kitalah yang akan mencorakkannya". Namun, cabaran mendidik seseorang manusia itu cukup sukar kerana:
"Manusia itu ibarat cecair 'Pelarut' yang melarutkan apa sahaja 'Bahan' yang masuk ke dalam hidupnya." 

Terdapat pelbagai fahaman-fahaman fasafah dan agama yang tercipta hasil daripada  kegagalan sistem agama di barat dalam mentadbir kehidupan manusia pada masa lalu. Antara contoh-contoh fahaman tersebut adalah seperti Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme, Sosialisme dan sebagainya. Bagi mereka yang jelas kefahaman agamanya, pasti mengetahui bahawa menerima sistem kehidupan selain daripada Islam adalah suatu perkara yang menyalahi kehendak Allah.
"Barangsiapa yang mencari agama (diin) selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" (3. Ali Imran : 85)
Umum mengakui dan mengetahui bahawa kesemua fahaman-fahaman yang bertentangan dengan islam perlu ditolak. Namun, timbul satu persoalan di kalangan masyarakat; "Apakah yang lebih bahaya dan terlebih dahulu perlu dihalang di antara 'Sekularisme' atau 'Pluralisme' jikalau perlu memilih di antara keduanya?" Bagi menjawab persoalan tersebut, kedua-dua fahaman tersebut perlulah diselidik dengan baik, yang mana satu lebih kurang mudharatnya.

Sekularisme Dalam Kehidupan Manusia

Sekularisme dari segi bahasa berasal daripada perkataan Latin; 'Saeculum' yang bermaksud 'Masa' iaitu "kini dan zaman ini" dan 'Tempat' yakni "dunia ini". Ia juga membawa maksud satu generasi atau zaman. Manakala dari segi istilah pula, sekularisme merupakan satu fahaman falsafah atau sistem yang memisahkan urusan dunia samada urusan pemerintahan, pendidikan dan lain-lain urusan pentadbiran daripada urusan-urusan agama. Sistem ini menolak peranan agama dan Tuhan daripada segala urusan manusia.

Pemisahan di antara agama dari kehidupan ini boleh diandaikan seperti memisahkan 'Bahan Larut' dari 'Pelarut' yang akhirnya gagal untuk menghasilkan satu 'Larutan' yang sempurna. Kehidupan manusia telah menjadi kosong dari panduan Ilahi akibat daripada sistem sekular yang telah lama meresap ke dalam diri manusia ini. Hal ini tidak lain adalah hasil daripada strategi penjajah barat ke atas tanah air ini dalam menjarakkan manusia dari tuhan serta menjadikan mereka lalai dengan kehidupan mengikut kehendak diri sendiri.


Melalui pemahaman contoh di atas, penyelesaian bagi permasalahan ini adalah agak mudah. Secara teorinya, bagi mendapatkan 'Larutan' yang sempurna, 'Bahan Larut' yang terpisah hanya perlu ditambah ke dalam 'Pelarut' yang masih kosong itu tadi. Cuma secara realitinya, manusia sebagai 'Pelarut' sangat mudah terpengaruh dan melarutkan apa sahaja benda di dalam kehidupan mereka. 'Bahan Larut' yang dicari juga tidak dapat dipastikan keaslian atau kecemarannya. Agama yang telah bercampur pasti akan menyukarkan lagi keadaan ummat ini. 
"Penyelesaian yang mudah jangan dipayahkan dengan menambah masalah yang baru. Islam adalah penyelesaiannya, maka kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah."

Pluralisme Dalam Kehidupan Manusia

Pluralisme dari segi bahasa berasal daripada perkataan; 'Plural' yang bermaksud 'Kemajmukan' iaitu "Kepelbagaian". Manakala dari segi istilah pula, pluralisme adalah satu fahaman yang mengakui dan meresapi kepelbagaian dalam suatu kelompok masyarakat. Kepelbagaian di sini dilihat dari segi keturunan, budaya, agama dan sebagainya. Ia kelihatan baik dan sesuai dengan situasi tanah air, tetapi masalahnya adalah pada "meresapi kepelbagaian agama" yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Kepelbagaian agama ini juga boleh difahami dengan menyama-tarafkan agama-agama dalam kehidupan manusia. Hal ini boleh diandaikan seperti mencampur adukan 'Bahan Larut' di dalam 'Pelarut' yang akhirnya menghasilkan 'Larutan' yang salah. Kehidupan manusia akan menjadi sesat dari panduan Ilahi akibat daripada kekeliruan agama di dalam masyarakat; antara wahyu dan penyelewengan akal. Fahaman pluralisme akhirnya berkembang menjadi suatu bentuk agama baru dalam sesebuah masyarakat.


Melalui pemahaman contoh di atas, penyelesaian bagi permasalahan ini adalah agak sukar. Secara teorinya, bagi mendapatkan 'Larutan' yang betul, 'Bahan Larut' yang bercampur perlu dipisahkan terlebih dahulu dan barulah boleh ditambah ke dalam 'Pelarut'. Di samping itu, 'Bahan Larut' juga perlulah melalui proses penulenan atau ditapis terlebih dahulu sebelum ditambah ke dalam 'Pelarut' tersebut. Jelas sekali, keadaan menjadi semakin rumit dan memerlukan banyak proses-proses tersebut yang ternyata menyukarkan penyelesaiannya.

Kesimpulannya, kedua-dua fahaman tersebut perlu dihalang dan ditolak bagi mendapatkan satu 'Larutan' yang betul dan sempurna. Namun, perlu difahami bahawa 'Larutan' yang salah sukar untuk diubah lagi berbanding 'Larutan' yang tidak sempurna. Di samping itu, walaupun ada suatu 'Bahan Larut' yang hampir kepada Islam, namun mengapakah perlu ia menjadi alasan untuk tidak memilih Islam untuk menaikan Islam? Teguhkanlah keyakinan dengan jalan yang ditunjukkan oleh Ar-Rasul di dalam sirah perjuangannya. 
"Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?" (5. Al-Maidah : 50)
_____________________________________________________________________________________
Nota:

  1. Solvent: Pelarut
  2. Solute: Bahan yang dilarut 
  3. Solution: Larutan

Kuantiti Madu Dan Kualiti Racun


Kejayaan atau kegemilangan sesuatu kelompok pada hari ini dilihat pada sokongan yang padu dari orang ramai. Fokus manusia pada hari ini diletakkan kepada 'bilangan orang' berbanding 'kefahaman orang' yang memerhatikan mereka. Kata-kata terus ditabur, undi-undi terus dipancing dan bilangan orang terus ditarik dengan umpan-umpan keduniaan bukannya dengan kefahaman fitrah dan akal fikiran. Pepatah melayu ada mengatakan;

"Dengan sesenduk madu dapat menangkap lebih banyak serangga daripada dengan sesenduk cuka" 

Kata-kata ini bermaksud; dengan mulut yang manis serta ramah-tamah lebih banyak memperoleh sahabat daripada dengan perkataan yang tajam dan muka yang masam. Walaupun seseorang hamba seharusnya bermanis muka sesama manusia di samping itu, selemah iman membenci di dalam hati juga perlu terhadap kemungkaran yang dilakukan. Justeru, seseorang hamba seharusnya tidak lupa bahawa orang yang selalu bermulut manis kebiasaannya berbahaya dan mempunyai hati yang jahat, ibarat kata pepatah;

"Seperti seekor lebah; mulutnya membawa madu, punggungnya membawa sengat"

Malangnya, arus ini telah mencairkan sebahagian kelompok hamba yang juga telah meletakkan kefahaman bahawa, bicara politik adalah bicara berkaitan nombor dan angka. Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang sedar dan berpaling dari kesilapan itu namun ada pula yang sedar tapi terus meletakkan ia sebagai suatu bentuk strategi pendekatan. Kefahaman mereka kini telah cair terikut dengan pembawaan manusia  yang sepatutnya ditentang oleh mereka. 


Fokus kepada 'kuantiti' ini juga telah mengalihkan perhatian mereka kepada 'dakwah non-muslim' melebihi daripada 'dakwah kepada muslim'. Mereka seharusnya memahami akan fokus 'keutamaan tertinggi' dalam melakukan kerja dakwah dan mematuhi aturannya. Apa yang telah mereka lakukan ini, adalah satu langkauan anak tangga daripada jalan dakwah. Maka, tidak mustahil pelbagai masalah dan lompongan kerja dakwah berlaku akibat dari fokus utama yang tidak diberikan sebelum ini.

Kelompok muslim seharusnya dibimbing secara serius dan diberi keutamaan kerana mereka mencerminkan pemahaman islam sebenar kepada kelompok non-muslim. Pelbagai masalah akan mula timbul apabila dakwah tidak difokuskan kepada mereka. Hal ini kerana, apabila mereka tidak dipandu dengan kefahaman yang jitu, mereka mudah jatuh ke lembah maksiat dan mewujudkan fitnah dengan pelbagai salah faham yang akan dilakukan dalam agama.

"Kelompok muslim banyak meminum arak, juara menghisap dadah, melahirkan anak luar nikah dan pelbagai maksiat yang mencemarkan imej islam"
"Namun, islam moderat, muslim liberal dan pluralism agama juga bukanlah kefahaman Islam yang sebenar untuk ditonjolkan kepada kelompok non-muslim"

Apabila meletakkan fokus dakwah kepada kelompok muslim, tidaklah bermakna meninggalkan atau melupakan dakwah kepada non-muslim. Dakwah kepada kedua-dua kelompok perlu dilakukan, namun persoalannya yang mana satu perlu diutamakan? Kefahaman asal seseorang hamba dalam melakukan kerja dakwah adalah untuk mencari pewaris hamba dakwah yang seterusnya. Adakah mungkin non-muslim yang baru memeluk agama islam, kemudiannya diharapkan mengembangkan dakwah ini?

Ya, ianya mungkin dengan kehendak Ilahi tetapi secara realitinya adalah agak mustahil. Hal ini kerana, fokus hamba adalah pada kualiti bukannya kuantiti kelompok muslim sahaja. Jika mereka beralasan bahawa dengan banyaknya muslim di muka bumi ini, maka akan mudahlah dakwah ini berkembang dan akan hampirlah kepada kemenangan islam, maka mereka sebenarnya sedang berangan-angan sahaja. Kefahaman islam mereka tidak lain hanyalah menganggap islam ini sebagai suatu agama magis yang tidak perlu kepada strategi dan realiti. 

"Beri perhatian utama kepada 'kuantiti kelompok muslim' berbanding 'kuantiti kelompok non-muslim' untuk melahirkan 'kualiti kelompok mukmin'" 

Sejarah telah membuktikan bahawa, kemenangan islam bukanlah letaknya pada kuantiti bilangan ummat islam, tetapi terletak pada kualiti mereka di ketika itu. Oleh itu, muslim yang berkualiti adalah menjadi pewaris harapan supaya dapat mengislamkan non-muslim dengan menonjolkan kefahaman islam yang sebenar. Namun, jika muslim tanpa kualiti yang mendepani kelompok non-muslim, maka apa yang berlaku adalah sebaliknya; mereka menjadi goyah dan cair pegangan islamnya. 

Fahamilah percaturan yang berlaku, dengan mengenal pasti keutamaan semasa, siapa yang sepatutnya menjadi mad'u dan siapa pula yang sepatutnya dimusuhi. Kita mencari penyambung kepada rantai dakwah ini, bukannya mahu mengumpul angka-angka kosong yang apabila bertambah lagi angka kosong tetap tidak bernilai. Yakinlah bahawa, muslim-muslim yang berkualiti ini apabila disatukan dalam suatu kelompok yang dapat menggerakkan mereka, pasti akan menggentarkan musuh-musuh islam untuk tunduk akur pada pemerintahan islam kelak.

Isi Yang Merosakkan Bekasnya

Terdapat banyak objek yang ingin dikecapi oleh manusia yang berada di atas muka bumi ini. Setiap objek tersebut dimasukkan ke dalam sebuah bekas yang mampu memenuhi segala keinginannya. Bekas itu melimpah penuh dengan pelbagai macam objek yang ada; ada yang kukuh kuat dan ada juga yang lemah atau mudah pecah. Selain itu, bekas tersebut juga diisi dengan objek yang baru dan juga objek yang lama. Segalanya bercampur aduk dan tidak dikelaskan mengikut sifatnya. Namun, selagi objek-objek tersebut termasuk di dalam bekas yang sama, ia tidak merisaukan hamba itu. 

Raihlah segala apa yang mampu diusahakan di dunia ini tanpa melupakan keperluan sebenar di akhirat. 

Suatu objek itu diisi di dalam sesebuah bekas kerana untuk mengasingkan objek tersebut daripada sesuatu benda yang lain dari kehendak seseorang. Sebarang percampuran objek-objek tersebut di dalam sebuah bekas adalah harus dan diraikan. Pelbagai jenis bekas yang boleh digunakan untuk menyimpan objek-objek tersebut; sama ada sebuah kotak, sebuah bekas plastik atau sebuah raga. Namun, bagi mengisi bekas dengan kepelbagaian jenis objek itu, sebuah bekas yang kukuh adalah suatu ciri yang diperlukan untuk melindungi benda-benda tersebut. 


Berdasarkan daripada ciri bekas yang diperlukan, bekas plastik adalah sebuah bekas yang paling ideal untuk digunakan. Hal ini kerana, bekas plastik adalah sebuah bekas yang mampu melindungi objek-objek kecil daripada tercicir dan ianya juga kukuh. Walaupun begitu, sebuah kotak juga mampu mengepung sebarang objek daripada tercicir tetapi ia tidaklah sekukuh bekas plastik dan mudah rosak. Manakala sebuah raga pula sudah pasti tidak menjadi pilihan kerana tidak kukuh dan tidaklah mengepung segala objek dengan baik. 

Namun, apa yang terjadi bekas plastik tersebut tidak berfungsi seperti apa yang diharapkan tetapi berubah menjadi seperti sebuah raga. Bekas plastik yang dipercayai dapat mengasingkan objek-objek tersebut, akhirnya pecah dan tidak dapat menghalang objek-objek itu daripada bercampur dengan benda asing. Keretakkan pada bekas, akhirnya membuatkan objek-objek tersebut bebas gembira dari keserabutan bekas itu. Ia merasa lepas dari kongkongan tetapi menjadi cair dan rosak kerana bendalir-bendalir asing yang rakus meresapi objek-objek yang mendekatinya. 

Sudah menjadi lumrah suatu ciptaan, walau sehebat mana sesuatu benda tersebut diciptakan pasti akan ada jangka hayatnya yang tertentu. Justeru itu, walau sekukuh mana bekas yang dipilih, ia tetap perlu dijaga dengan sebaiknya. Keharmonian di antara objek-objek di dalam bekas tersebut juga mestilah dipupuk dan dipandu dengan susunan yang baik. Jika tidak, objek-objek tersebut akan merosakkan bekas yang didiaminya tanpa ia sedari. Natijahnya, apabila semua perkara tersebut tidak lagi dilakukan dan dikawal, maka bekas itu sendiri tidak lagi berfungsi untuk melindungi bahkan akan merosakkan isinya. 


Mungkin ada yang berpendapat, kesilapan utama adalah kerana tidak mengelaskan objek-objek tersebut di dalam bekas-bekas yang berlainan. Namun, jika seseorang hamba itu hanya diberikan pilihan untuk memilih salah satu di antara tiga bekas-bekas tersebut untuk dimerdekakan oleh tuannya, apakan daya? Yang pasti, dia telah membuat penilaian yang baik dengan memilih bekas tersebut untuk melindungi kesemua objek-objek tersebut. Cuma silapnya, objek-objek itu harus di susun di dalam bekas, dengan yang besar di bawah menaungi yang kecil di atas. 

Sangat mengejutkan seseorang hamba itu apabila kebanyakkan masalah timbul datang dari objek yang kecil. Kelebihan objek kecil di atas ini, telah memijak objek besar di bawah, sedangkan objek besar selama ini duduk di bawah tidak lain adalah bagi mengekalkan kestabilan dan mempertahankan kekuatan bekas yang menaungi mereka bersama. Tidak cukup dengan itu, objek kecil ini telah mencelah ke bawah dan mencari rekahan-rekahan yang mampu menunjukkan kelemahan objek besar itu. Mereka seharusnya menerima kelainan saiz di antara mereka dan berperanan sewajarnya, demi menjaga bekas yang menaungi mereka. 

Hormatilah susunan yang telah ditetapkan dan bekerjasamalah demi menjaga bekas yang diduduki bersama. 

Janganlah menjadi barang yang merosakkan bekasnya, tempat di mana diri dilindungi dari pelbagai ancaman dan kerosakkan di luar bekas itu. Bersyukurlah kerana masih mempunyai tempat berlindung dan bertolerasilah sesama objek dengan meraikan kepelbagaian saiz bersama. Kalau objek kecil itu mampu untuk memilih bekas yang lain seperti kotak atau raga, silakan kerana tiada siapa yang menghalang ia untuk keluar ke bekas yang lain melainkan benda kecil itu sendiri selamanya tidak akan mempunyai kuasa untuk membuat pilihan itu. 

Manusia Dungu Dengan Telefon Pintar

Ajaib sungguh manusia hari ini memiliki 1,000 teman, tetapi masih kesunyian. Walaupun mereka mampu berkomunikasi dengan semua teman-temannya, tetapi mereka tidaklah benar-benar mengenali manusia itu. Masalah manusia itu adalah pada ruang dan masa yang di gunakannya. Mereka hanya mengenali nama dan wajah kawan-kawan  mereka pada skrin komputer sahaja.

Berkomunikasi, bersahabat dan berkongsi rasa kebersamaan melalui telefon pintar adalah perkara biasa yang dilakukan semasa bersosial melalui media. Namun, apabila berjauhan dengan alat khayalan itu, barulah hamba itu terjaga dan melihat dunia dengan penuh kekeliruan. Segala kecanggihan yang manusia miliki itu tidak lain hanyalah ilusi. Menyedari kesilapan ini, akhirnya membuka mata hamba itu lalu melangkah ke belakang sebentar.  
Adakah ini yang digelar bersosial melalui media tetapi sebenarnya hanya membuka komputer dan menutup pintu.
Waspadalah, dunia hari ini menyaksikan di mana manusia itu menjadi hamba kepada kecanggihan teknologi yang manusia itu kuasai. Di mana infomasi dijual oleh mereka yang kaya dan tamak melalui pengiklanan dan pelbagai cara lagi. Dunia di mana manusia mempunyai keinginan sendiri dengan bayangan tersendiri dan suka mempromosikan diri. Di mana manusia itu berkongsi sesuatu perkara bersama tetapi tidak mengeluarkan perasaan secara fizikal.

Manusia berkelakuan seperti mereka sedang gembira berkongsi sesuatu pengalaman, tetapi adakah sama apabila tiada orang pun di sekeliling mereka. Ya, mereka dapat bersama dengan teman-teman mereka sentiasa, jikalau bukan secara fizikal, mereka mampu mengatasinya dengan bermesej secara berkumpulan. Namun, mereka sanggup menghabiskan masa dengan berjaga hingga ke lewat malam demi meraikan mereka di alam maya lebih dari rakan sebilik.

Mereka suka menokok tambah, membesar-besarkan sesuatu dan menginginkan penjanaan idea tetapi mereka berpura-pura tidak menyedari dan menidakkan pengasingan sosial. Mereka menyusun perkataan dengan teratur kemudian ditaip satu persatu supaya kehidupan mereka kelihatan bersinar pada mata orang lain, tetapi mereka sebenarnya tidak mengetahui sesiapa pun yang sedang mendengar.
Apakah kesan yang berlaku di sekeliling mereka apabila keadaan manusia menjadi sebegini?
Apabila berada di tempat awam, manusia mula kekok dan merasa keseorangan. Sedangkan mereka seharusnya meletakkan tangan dibelakang kepala dan menjauhi telefon itu. Mereka tidak perlu menekan menu untuk melihat senarai kenalan, tetapi hanya perlu berbual bersama dan belajar untuk merasai kewujudan bersama. 

Masalah lain juga timbul apabila manusia itu dikelilingi oleh anak-anak mereka yang sejak dari lahir melihat kehidupan mereka seperti robot. Lalu, anak-anak mereka menyangka ia suatu perkara yang normal dalam kehidupan. Sedarilah, manusia itu tidak mampu menjadi seorang ayah yang baik jika tidak mampu menghiburkan hati anak-anak mereka tanpa menggunakan i-pad.




Hamba itu tidak dapat menahan lagi untuk mendengar kesunyian di dalam keretapi komuter walaupun keadaan sebenarnya sedang sesak. Tiada perbualan berlaku dan mereka takut untuk mengatakan sesuatu. Hari ke hari, manusia kini tidak bersosial lagi apabila hilangnya keinginan dan kepuasan diri untuk menyelami perasaan antara satu sama lain dan melihat kepada mata dan hati orang lain. 
Adakah salah untuk bersendirian dalam melakukan sesuatu perkara?
Semasa hamba itu kecil, hamba itu tidak pernah di rumah. Keluar bersama kawan, berbasikal dengan berkeliaran, melepaskan diri dari latihan, melompat-lompat mengangkat lutut kegirangan dan membina rumah pondok tinggi di atas pokok. Namun kini taman permainan menjadi sunyi dan sungguh mengerikan bagi hamba itu. Tiada kanak-kanak bermain di luar dengan buaian tergantung kaku, tiada tali skiping dan jongkang-jongket kedengaran.

Namun, hamba itu menekankan bahawa duduk bersendirian tidaklah menjadi masalah. Apabila manusia itu membaca buku, melukis gambar dan melakukan senaman, manusia itu masih menjadi seseorang yang produktif dan telah melakukan sesuatu, bukannya seperti mereka yang sedang bertapa.
Adakah mereka sebuah generasi bodoh dengan telefon pintar dan manusia dungu. Bagaimanakah gambaran yang sepatutnya?
Jadi, waspadalah dengan telefon pintar dan matikan paparannya. Hari ini, manusia perlu menghayati di sekeliling kehidupan mereka sedalamnya kerana dengan hanya satu perhubungan yang dilakukan oleh mereka, akan menunjukkan perbezaan makna kewujudan manusia. 

Dulu, manusia tidak perlu memberitahu beratus orang apa yang mereka lakukan kecuali hanya kepada orang yang tersayang. Di saat manusia menjual komputer mereka dan membeli cicin kerana seseorang yang benar-benar wujud bukan khayalan. Merasai mulanya pembinaan sesebuah keluarga dan mendukung anak kecil untuk merasa jatuh cinta sekali lagi. Ketika itu, manusia terjaga di waktu malam dan yang hanya mereka inginkan hanyalah waktu rehat.

Setelah masa berlalu, tibalah waktu manusia itu menitiskan air mata apabila berpisah dengan anak mereka untuk mengejar cita. Sekejap saja, anak itu sudah kembali dengan pasangan hidupnya. Kemudian, detik ketika manusia itu mendapat pangkat datuk dan merasa sebenarnya mereka telah tua. Dengan itu, mereka memikirkan apa yang telah mereka lakukan dengan memberi perhatian kepada kehidupan dan mereka bersyukur kerana tidak menyiakannya dengan mengagumi kecanggihan sesebuah ciptaan.

Akhirnya, hari di mana mereka memegang tangan isteri mereka dan duduk di sebelah katilnya. Manusia itu mengatakan yang mereka menyintainya dan mengucup dahi isterinya. Kemudian, isterinya membisikan ke telinga mereka perlahan-lahan kerana jantungnya yang akan berdegup buat kali terakhir, lalu berkata bahawa dia berasa bertuah kerana berjalan di atas jalan yang sama dan mengenali manusia itu.
Hamba itu juga turut jadi bersalah kerana keadaan dunia hari ini
Tetapi semua ini tidak berlaku, kerana manusia itu tidak melakukan semua ini. Semasa mereka sibuk melihat ke bawah pada paparan skrin telefon, mereka tidak dapat melihat peluang yang ada di depan telah pun mereka siakan. Jadi, waspadalah dengan telefon pintar dan matikan paparannya kerana kewujudan manusia akan berakhir dalam beberapa kiraan hari. Janganlah membuang masa kehidupan dan terperangkap di dalam sesawang kerana penghujung kehidupan akan tiba dan tiada perkara lain yang akan dikesali.

Hamba itu juga turut bersalah kerana menjadi sebahagian daripada mesin-mesin ini. Di pentas ini hamba itu didengari tetapi tidak diperhati. Hamba itu menaip seperti hamba itu sedang bercakap, hamba itu membaca seperti hamba itu sedang berbual secara atas talian. Keadaan di mana hamba itu meluangkan berjam masa bersama tanpa membuat sebarang perjumpaan. Janganlah kehidupan ini diserahkan kepada kehidupan yang mengejar kepada kehidupan yang digembar-gemburkan. Serahkanlah kepada orang lain dengan menyayanginya bukan hanya menyerahkan simbol 'like'.

Putuskan diri daripada merasakan keperluan untuk didengari dan dikenali. Keluarlah ke dunia nyata dan tinggalkan kemusnahan ini di belakang. Waspadalah dengan telefon pintar dan matikan paparannya, Kemudian berhentilah daripada membaca tulisan ini dan mulakan kehidupan dengan sebenarnya. 

Takut Kerana Bodoh, Tahu Kena Berani

Apa-apa perkara yang manusia takutkan itu, kebiasaannya adalah sesuatu perkara yang manusia itu tidak tahu. Manusia takut akan kegelapan kerana mereka takut akan keadaan sekeliling yang tidak mereka ketahui. Pelbagai perasaan dan fikiran mula menjelma apabila manusia itu tidak tahu akan sesuatu. Mereka akan terfikir, adakah ada duri di depan, atau ada kelawar di belakang atau mungkin ada kelapa yang akan jatuh dari atas kepala mereka.

Manusia itu pada masa lalunya takut untuk belayar kerana menyangka bumi ini rata. Tetapi, setelah manusia itu mengetahui bahawa bumi ini bulat, mereka mula keluar mengembara dan mengaut segala apa dari keinginan diri mereka. Kemudian, mereka menjadi lebih berani dalam melakukan sesuatu perkara sehingga menjadi tamak lalu menindas manusia yang lain kerana masih ketinggalan dalam pengetahuan.












Apakah jenis-jenis manusia yang lahir di sebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku ini?

Ketakutan manusia itu telah menjadikan mereka tidak bergerak atau berkembang dari pencapaian yang telah mereka perolehi. Mereka lebih selesa untuk menjauhi sebab-sebab ketakutan daripada menghilangkan penyebab kepada ketakutan itu. Justeru, mereka lebih sanggup untuk menanggung perit kejahilan daripada menanggung payahnya menuntut ilmu, seperti kata Imam As-Syafii. Akhirnya, mereka lebih rela menjadi pengikut kepada telunjuk orang lain daripada memahami sesuatu dengan sendiri.

Malangnya hari ini, manusia yang banyak mengetahui sesuatu perkara itu adalah di kalangan mereka yang tidak mengamalkan sistem kehidupan berlandaskan wahyu tetapi berlandaskan nafsu. Perasaan cukup dengan menjadi manusia yang hanya tahu menunggu kejayaan sesebuah pengetahuan, akhirnya melepaskan banyak peluang kepada mereka. Mereka menjadi semakin berani bersuara dan bongkak walaupun ilmu yang diperolehinya bercampur aduk dengan kejahilan.

Apakah pengajaran yang dapat diambil dari jenis-jenis manusia ini?

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya sesuatu ilmu itu dikuasai oleh mereka yang bersih dari pengaruh hawa nafsu dan keinginan diri. Mereka yang bersama sistem kehidupan berlandaskan wahyu ini perlulah berusaha menguasai ilmu dengan melakukan kajian dengan mendalam supaya dapat mengatasi suara mereka yang berilmu tapi bertuhankan hawa nafsu. Kefahaman yang mendalam adalah amat penting bagi memelihara diri dari salah mengikut telunjuk mereka yang terseleweng.

Kemudian, mereka haruslah pula mempamirkan diri mereka dengan berani dan menyampaikan pengetahuan mereka kepada manusia yang lain. Suara mereka seharusnya lebih kuat daripada mereka yang hanya tahu lantang bersuara berlandaskan akal fikiran semata supaya dapat melindungi kekeliruan di kalangan manusia yang lain. Apalah guna ilmu di dada jika tidak mampu yakin untuk mengeluarkan sesuatu hasil, tetapi masih lagi mengikut di belakang kemajuan orang yang berilmu dengan kejahilan.

Apakah kepentingan lain bagi mereka yang berilmu untuk berani bersuara?

Berlandaskan tuntutan wahyu, selain daripada dapat menghasilkan sesuatu perkara yang ma'ruf seperti mewujudkan perbankan islam, perundangan syariah (hudud) dan pelopor kepada hab halal, mereka juga perlu bersuara untuk menegah kemungkaran. Ilmu itu bukan sahaja relatif untuk dibanding-bandingkan kebenarannya, tetapi terdapat juga ilmu yang telah tetap dan tidak dapat dipersoalkan. Jadi mana-mana perkara yang menyalahi dan bertentangan dengan kebenaran seharusnya ditolak oleh mereka yang berilmu dan bukannya diraikan lagi oleh mereka.

Apakah yang dapat disimpulkan dari kedua golongan manusia ini?

Kesimpulannya, apabila manusia itu memilih untuk menjadi orang yang bodoh, maka dia akan memilih untuk menjadi penakut. Manakala manusia yang memilih untuk menjadi orang yang tahu, maka dia haruslah pula menjadi seorang yang berani kerana kebenarannya. Berani pada kebenarannya bererti bukan sahaja dengan menyebarkan kebaikan ilmu sahaja, tetapi juga dengan menghalang mereka yang merosakkan dan menyelewengkan ilmu dari berleluasa. 

Oleh itu, mulakan dengan diri sendiri untuk menjadi orang yang tahu serta berilmu supaya tidak lagi menjadi seorang pengikut. Boleh jadi, diri itu salah mengikut telunjuk kerana ketiadaan ilmu untuk menilai. Selain itu, jadilah orang yang berani mengatakan sesuatu kebenaran walaupun ianya pahit untuk orang lain menerima walau akibatnya dibenci oleh orang lain. Akhir sekali, sampaikanlah walaupun hanya satu ayat dengan berani kepada manusia yang lain.

Masjid Lurus, Kiblat Serong

Beribu-ribu bangunan usang tersusun rapat di bumi kinanah. Bandar yang terkenal sebagai kota seribu menara itu, kotanya tersusun dalam barisan-barisan yang panjang dengan jalannya yang sempit. Kepadatan bangunan yang dibina ini, adalah berikutan dari jumlah penduduk yang ramai tertumpu di suatu kawasan. Bukan itu sahaja, malah mereka perlu membina pelbagai jenis bangunan lain bagi menampung keperluan mereka. 

Antara bangunan yang banyak dibina dalam kepesatan kota itu adalah seperti rumah-rumah, pusat-pusat bahasa dan tahfiz, masjid-masjid, kedai-kedai makanan, kedai-kedai pakaian serta pasaraya. Selain itu, gudang-gudang pakaian dari Cina dan restoran-restoran Syria juga mula berkembang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini, menjadikan deret-deret jalan yang sempit itu sesak kerana mereka meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan tersebut.

Adakah masjid di bumi anbiya' itu juga lurus bersama bangunan yang lain?


Masjid di Mesir, kebanyakannya lurus bersama bangunan-bangunan lain yang dibina. Kedudukannya pula, sungguh dekat dan mudah untuk dikunjungi oleh penduduk yang berdekatan. Mereka tidak memerlukan kenderaan apa pun untuk sampai ke situ. Penduduk kawasan dan pekerja-pekerja kedai di sekitar masjid itu, kebiasaannya akan memberhentikan segala urusan mereka lalu ke masjid pada setiap waktu sembahyang.

Kehidupan harian mereka yang menuntut supaya beribadah sehari lima kali ini, telah menjadikan mereka sentiasa sedia berwudhuk dan dapat bergegas ke masjid pada bila-bila tiba waktunya. Persaingan yang tinggi di kalangan penduduk negara yang ramai ini, telah menjadikan mereka cukup sibuk lalu leka dengan arus semasa sehingga mereka terlupa untuk melihat permasalahan yang berlaku di sekitar kehidupan mereka. 

Apakah masalah yang timbul apabila masjid itu dibina lurus bersama bangunan lain?

Apabila tiba hari jumaat, orang ramai akan datang ke masjid hingga penuh dan berlimpah keluar kerana kepadatannya. Mereka kemudiannya boleh memilih sama ada untuk pergi ke masjid yang lain atau duduk di luar masjid walau terpaksa berpanas di bawah terik mentari bumi anbiya' itu. Namun, kebannyakkan mereka akan memilih untuk terus kekal di situ, kerana lebih senang untuk mereka kembali menyambung kerja-kerja yang terhenti seketika tadi.

Walaupun begitu, mereka meluruskan saf di luar masjid mengikut garis bangunan itu tanpa melihat arah kiblat dari dalam masjid. Hal ini kerana, ramai yang menyangka kiblat masjid itu akan lurus bersama bentuk masjid itu dan mengikut arus yang di bawa oleh orang lain, meskipun kiblat yang sebenar adalah serong dari garis lurus bangunan-bangunan itu. Hanya mereka yang mengetahui arah kiblat yang sebenar akan merasai pertembungan yang dibawa oleh arus penduduk itu.

Apakah faktor atau sebab-sebab kepada situasi yang terjadi ini?

Orang ramai akhirnya tertipu dengan masjid itu, kerana masjid itu sendiri terlalu naif kerana dibina lurus mengikut arus bangunan di sekelilingnya. Para jemaah masjid itu bukan sahaja salah mengikut kiblat, malah keras mempertahankan kiblat yang salah itu pada orang lain. Kelakuan mereka tidak ubah seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan malah mungkin lebih buruk lagi.

Apakah kesimpulan yang boleh diambil daripada situasi ini?

Hari ini, kebiasaan cara mereka melihat masjid dan kiblat itu telah menebal dan sebati di dalam diri mereka. Pandangan mereka terhadap bentuk masjid dan arah kiblat itu terlalu naif kerana menyangka ia akan sentiasa lurus bersama, sungguhpun kompas kiblat mereka menunjukkan arahnya serong. Malahan, mereka juga tidak mahu atau malas bertanya kepada orang di dalam masjid supaya memberitahu mereka arah kiblat yang sebenar.

Pada siapalah lagi nak diharapkan, jika bukan orang yang benar-benar berada di dalam masjid itu untuk keluar membetulkan mereka dengan apa cara sekalipun. Pak bilal atau imam boleh mengingatkan para jemaah berkenaan arah kiblat sebelum solat atau AJK masjid juga boleh meletakkan papan tanda yang boleh dilihat oleh para jemaah supaya menyerongkan kiblat ke suatu arah.

Apakah pengajaran yang boleh diambil dari situasi ini?

Daripada situasi ini, kita boleh kiaskan atau samakan bahawa pertumbuhan bangunan-bangunan (ideologi/fahaman/agama lain) yang pesat hari ini, seharusnya tidak mempengaruhi kedudukan arah sebenar bentuk masjid (agama islam) yang akan dibina. Hal ini adalah kerana, bagi mengelakkan kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat berkenaan kiblat (kebenaran/pembawaan) sebenar masjid (agama islam) itu.

Adalah menjadi tanggungjawab orang yang berada di dalam masjid itu (orang yang mahir di dalam agama islam) untuk keluar dan menerangkan hal sebenar berkaitan kiblat masjid itu (pembawaan/kebenaran agama islam). Manakala orang yang diluar masjid pula seharusnya mengikuti teguran orang yang di dalam masjid (orang awam merujuk orang agama) dan tidak berkeras dengan kesesatan kiblat mereka (berkeras dengan kejahilannya).