'Pentingkan Diri' Mulanya Al-Hawa Menguasai
Pernahkah anda terfikir, apakah punca utama bagi permasalahan umat yang akhirnya memperlihatkan Islam itu lemah pada hari ini? Kebiasaannya, seperti yang sedia kita maklum bahawa antara masalah serius yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini adalah kerana umat ini sering kali jatuh terikut dengan hawa nafsu. Umat Islam kalah dengan musuh di dalam diri sendiri sebelum bertempur dengan musuh zahir di alam nyata.
Al-Hawa dari segi bahasa bermaksud 'suka', 'cinta' atau 'kehendak', manakala nafsu pula bermaksud 'jiwa', 'tubuh' atau 'diri seseorang' dan apabila digabungkan, maka 'hawa nafsu' bermaksud dorongan hati yang kuat untuk melakukan perkara yang tidak baik. Kesan negatif yang terjadi daripada hawa nafsu ini adalah umat Islam menjadi lesu dan leka untuk menentang pendokong kuffar di atas muka bumi Allah ini.
Kita Menolak Al-Hawa
Dengan itu, Al-Hawa adalah sesuatu yang perlu ditolak, begitulah seperti yang ditulis oleh Ammar Rashid di dalam bukunya 'Muntolak' (Di Sini Bermula). Seawal dari bab yang pertama lagi, beliau telah menyeru para da'i Islam dan umat Islam secara amnya untuk menolak Al-Hawa. Beliau menyimpulkan bahawa hanya terdapat dua jalan yang boleh dilalui manusia, sama ada jalan menuruti Islam ataupun jalan menuruti selain daripada Islam.
Seseorang yang telah memilih untuk menuruti jalan Islam, tidak boleh pada masa yang sama menuruti jalan hawa nafsu. Ini kerana tidak mungkin seseorang itu boleh melalui dua jalan yang berbeza pada masa yang sama. Jika hal ini dirasakan terjadi, maka jalan yang dilalui seseorang itu sebenarnya adalah jalan yang menuruti selain daripada Islam dan bukan dari jalan Islam.
Pendidikan Moden VS Tarbiyyah Islami
Persoalannya, mengapakah hari ini seolah-olah mustahil untuk kita menolak Al-Hawa seperti para sahabat hadapi dan lalui di zaman kegemilangan Islam seperti yang berlaku di dalam sirah nabi? Sedangkan sedari kecil lagi, kita telah dididik untuk mula mengenali apa yang baik dan apa yang buruk untuk diri sendiri. Kemudian, melalui pengalaman-pengalaman yang diperolehi ini ia menjadi satu bentuk panduan dan bekalan bagi diri kita untuk memilih jalan yang betul di sepanjang kehidupan.
Maka, tidakkah semua ini cukup bagi kita untuk menghindarkan diri daripada terdorong menuruti jalan hawa nafsu? Di manakah silapnya atau kurangnya didikkan yang dilalui oleh umat Islam pada hari ini berbanding tarbiyyah yang dilalui oleh sahabat di zaman Ar-Rasul? Apakah berbeza pendidikan di zaman moden berbanding tarbiyyah Islami?
Pendidikan Moden: Memisahkan Dengan Mementingkan Diri
Di zaman modenisasi ini, ketinggian ilmu dinilai berdasarkan panduan dari acuan pendidikan barat. Tidak dapat dinafikan, sumber ilmu dan pendidikan yang terkini telah dikuasai oleh Imperialis Barat. Malangnya, sistem pendidikan barat ini dikawal dan perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Persaingan manusia telah berlaku untuk mendapatkan ilmu, maka lahirlah manusia yang mementingkan diri sendiri daripada diri orang lain (individualistik) dan kemudiannya menjadi parah dengan mengumpul kebendaan (materalistik).
Hal ini bermula apabila mereka hanya memikirkan kebaikan untuk diri mereka sendiri. Malangnya tanpa mereka sedari, keutamaan diri mereka telah menyebabkan mereka tidak lagi mengambil endah tentang apa yang berlaku kepada saudara-saudara Muslim yang lain. Mereka tidak lagi mahu membantu atau menjadi pasif atau lambat dalam memberi pertolongan apabila diperlukan. Boleh jadi bantuan yang diberikan juga tidaklah ikhlas, di mana mereka hanya membantu kerana takut dirinya dipandang serong oleh orang lain.
Bukan itu sahaja, tidak cukup dengan hanya memenuhi keperluan diri sendiri, umat Islam juga telah berubah menjadi semakin materialistik apabila hanyut dalam memenuhi kehendak kebendaan. Mereka berlumba-lumba dalam mendapatkan harta, pangkat dan wanita dan akhirnya itulah yang menjadi tujuan hidup mereka. Kehidupan umat menjadi sia-sia kerana berputar dalam rutin yang sama, malah lupa akan tujuan hidup yang sepatutnya. Inilah keadaan umat yang cuba dirawat oleh Khalifah Umar Abdul Aziz seperti dalam kata-katanya:
"Sesungguhnya aku sedang merawat satu urusan yang tiada siapa yang dapat menolongnya melainkan Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang kecil telah membesar, orang a'jam telah mahir berbahasa arab dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama."
Begitulah yang terjadi kepada umat Islam, kehidupan mereka ditentukan dalam acuan hidup yang sama oleh musuh Islam. Umat hidup dalam putaran hidup yang sama dan mewariskan perjalanan hidup mereka dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Kehidupan generasi umat Islam masa kini sangat jauh dari maksud Islam sebenar yang difahami oleh umat Islam masa lalu.
Tarbiyyah Islami: Menyatukan Dengan Persaudaraan Dan Kerjasama
Tarbiyyah Islami: Menyatukan Dengan Persaudaraan Dan Kerjasama
Manakala tarbiyyah Islam pula adalah sebuah bentuk pendidikan yang lengkap tidak terhenti dengan sekadar pembinaan diri, tetapi meliputi dengan pembinaan keluarga, masyarakat, negara dan juga antarabangsa. Pandangan jelas dan jauh di dalam sistem Islam ini menyedarkan kita bahawa umat manusia tidak dapat berkembang tanpa mewujudkan kerjasama sesama manusia. Dengan kefahaman ini di kalangan umat Islam, akhirnya mereka bersatu dengan ukhwah persaudaraan tanpa menghiraukan latar belakang yang berbeza.
Setelah ukhwah terbina di kalangan umat, maka tarbiyyah Islam mengajak mereka untuk hidup secara berjemaah iaitu hidup secara tersusun dan berorganisasi bagi merancang dan berbincang kehidupan bersama. Setiap perkara yang dilakukan bersama dan inilah yang dipanggil sebagai amal jam'i, di mana setiap individu mungkin mempunyai tugas yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama.
Oleh itu, dapat kita fahami bahawa seseorang yang berpendidikan moden kurang menghayati detik-detik menyentuh dalam hidupnya, malah jiwanya terasa kosong walaupun telah banyak tujuan-tujuan hidup keduniaannya tercapai. Mereka cuba mengisi kekosongan tersebut berdasarkan apa yang difikirkan oleh akal, namun ianya mungkin telah bercampur dengan kepentingan diri dan hawa nafsunya. Maka lahirlah pelbagai ideologi dan fahaman yang mereka rasa baik pada diri mereka, tetapi sebenarnya tidak bahkan menghuru-harakan masyarakat.
Ummat Islam hari ini perlu diisi dengan tarbiyyah Islam bagi mereka merasai hakikat sebenar kehidupan di dunia ini. Sebagai hamba kepada tuhan yang Maha Pencipta, maka mereka perlulah mematuhi setiap suruhan dan larangaNya. Di samping itu, mereka perlu sedar bahawa tugas mereka juga adalah untuk memimpin dunia dengan syariat Ilahi bukannya dipimpin oleh hawa nafsu. Oleh itu, umat Islam tidak boleh lagi mementingkan diri, kerana ada hawa nafsu yang perlu ditolak dan ada suruhan Allah yang wajib dipatuhi.




0 comments:
Post a Comment