Kuantiti Madu Dan Kualiti Racun


Kejayaan atau kegemilangan sesuatu kelompok pada hari ini dilihat pada sokongan yang padu dari orang ramai. Fokus manusia pada hari ini diletakkan kepada 'bilangan orang' berbanding 'kefahaman orang' yang memerhatikan mereka. Kata-kata terus ditabur, undi-undi terus dipancing dan bilangan orang terus ditarik dengan umpan-umpan keduniaan bukannya dengan kefahaman fitrah dan akal fikiran. Pepatah melayu ada mengatakan;

"Dengan sesenduk madu dapat menangkap lebih banyak serangga daripada dengan sesenduk cuka" 

Kata-kata ini bermaksud; dengan mulut yang manis serta ramah-tamah lebih banyak memperoleh sahabat daripada dengan perkataan yang tajam dan muka yang masam. Walaupun seseorang hamba seharusnya bermanis muka sesama manusia di samping itu, selemah iman membenci di dalam hati juga perlu terhadap kemungkaran yang dilakukan. Justeru, seseorang hamba seharusnya tidak lupa bahawa orang yang selalu bermulut manis kebiasaannya berbahaya dan mempunyai hati yang jahat, ibarat kata pepatah;

"Seperti seekor lebah; mulutnya membawa madu, punggungnya membawa sengat"

Malangnya, arus ini telah mencairkan sebahagian kelompok hamba yang juga telah meletakkan kefahaman bahawa, bicara politik adalah bicara berkaitan nombor dan angka. Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang sedar dan berpaling dari kesilapan itu namun ada pula yang sedar tapi terus meletakkan ia sebagai suatu bentuk strategi pendekatan. Kefahaman mereka kini telah cair terikut dengan pembawaan manusia  yang sepatutnya ditentang oleh mereka. 


Fokus kepada 'kuantiti' ini juga telah mengalihkan perhatian mereka kepada 'dakwah non-muslim' melebihi daripada 'dakwah kepada muslim'. Mereka seharusnya memahami akan fokus 'keutamaan tertinggi' dalam melakukan kerja dakwah dan mematuhi aturannya. Apa yang telah mereka lakukan ini, adalah satu langkauan anak tangga daripada jalan dakwah. Maka, tidak mustahil pelbagai masalah dan lompongan kerja dakwah berlaku akibat dari fokus utama yang tidak diberikan sebelum ini.

Kelompok muslim seharusnya dibimbing secara serius dan diberi keutamaan kerana mereka mencerminkan pemahaman islam sebenar kepada kelompok non-muslim. Pelbagai masalah akan mula timbul apabila dakwah tidak difokuskan kepada mereka. Hal ini kerana, apabila mereka tidak dipandu dengan kefahaman yang jitu, mereka mudah jatuh ke lembah maksiat dan mewujudkan fitnah dengan pelbagai salah faham yang akan dilakukan dalam agama.

"Kelompok muslim banyak meminum arak, juara menghisap dadah, melahirkan anak luar nikah dan pelbagai maksiat yang mencemarkan imej islam"
"Namun, islam moderat, muslim liberal dan pluralism agama juga bukanlah kefahaman Islam yang sebenar untuk ditonjolkan kepada kelompok non-muslim"

Apabila meletakkan fokus dakwah kepada kelompok muslim, tidaklah bermakna meninggalkan atau melupakan dakwah kepada non-muslim. Dakwah kepada kedua-dua kelompok perlu dilakukan, namun persoalannya yang mana satu perlu diutamakan? Kefahaman asal seseorang hamba dalam melakukan kerja dakwah adalah untuk mencari pewaris hamba dakwah yang seterusnya. Adakah mungkin non-muslim yang baru memeluk agama islam, kemudiannya diharapkan mengembangkan dakwah ini?

Ya, ianya mungkin dengan kehendak Ilahi tetapi secara realitinya adalah agak mustahil. Hal ini kerana, fokus hamba adalah pada kualiti bukannya kuantiti kelompok muslim sahaja. Jika mereka beralasan bahawa dengan banyaknya muslim di muka bumi ini, maka akan mudahlah dakwah ini berkembang dan akan hampirlah kepada kemenangan islam, maka mereka sebenarnya sedang berangan-angan sahaja. Kefahaman islam mereka tidak lain hanyalah menganggap islam ini sebagai suatu agama magis yang tidak perlu kepada strategi dan realiti. 

"Beri perhatian utama kepada 'kuantiti kelompok muslim' berbanding 'kuantiti kelompok non-muslim' untuk melahirkan 'kualiti kelompok mukmin'" 

Sejarah telah membuktikan bahawa, kemenangan islam bukanlah letaknya pada kuantiti bilangan ummat islam, tetapi terletak pada kualiti mereka di ketika itu. Oleh itu, muslim yang berkualiti adalah menjadi pewaris harapan supaya dapat mengislamkan non-muslim dengan menonjolkan kefahaman islam yang sebenar. Namun, jika muslim tanpa kualiti yang mendepani kelompok non-muslim, maka apa yang berlaku adalah sebaliknya; mereka menjadi goyah dan cair pegangan islamnya. 

Fahamilah percaturan yang berlaku, dengan mengenal pasti keutamaan semasa, siapa yang sepatutnya menjadi mad'u dan siapa pula yang sepatutnya dimusuhi. Kita mencari penyambung kepada rantai dakwah ini, bukannya mahu mengumpul angka-angka kosong yang apabila bertambah lagi angka kosong tetap tidak bernilai. Yakinlah bahawa, muslim-muslim yang berkualiti ini apabila disatukan dalam suatu kelompok yang dapat menggerakkan mereka, pasti akan menggentarkan musuh-musuh islam untuk tunduk akur pada pemerintahan islam kelak.

0 comments:

Post a Comment