Kehidupan Dan Sistem Tertinggi
Surau usang itu, tetap dipandang mulia meski pun bumbungnya ada yang bocor, dindingnya pula hampir roboh. Keuzuran surau itu tidak pernah menjatuhkan reputasinya malah tidak goyah walau pun sedikit. Ia tetap gah dikunjungi hama-hamba yang datang jauh dari merata tempat dek keperluan mereka menjalankan tugas. Bagi mereka, surau usang itu tetap menjadi semulia tempat untuk dikunjung berbanding tempat-tempat yang lainnya. Hal ini kerana, hamba itu sedar dan faham akan kepentingan surau itu berbanding tempat yang lain.
Di sebelah surau itu, telah dibina sebuah teratak indah bagi menjadi tempat bersinggah orang ramai yang datang dari pelbagai tempat asalnya. Ia sungguh selesa kerana dilengkapi pelbagai kemudahan asas bagi mereka berehat atau melepaskan hajat. Malah, pelbagai juadah dijual bagi menampung bekalan di perjalanan. Namun, hamba-hamba itu tetap menuju ke surau usang sebagai tujuan utama kunjungan, kemudian barulah disinggah ke teratak indah. Boleh jadi, tanpa surau usang itu, teratak indah bagai tidak bermakna untuk disinggah.
Apakah surau usang tetap mulia walau teratak indah telah dibina?
Surau usang tidak dapat dinafikan lagi kemuliannya berbanding dengan teratak indah. Maka, apakah rahsia kemuliaan surau usang itu? Tidakkah hamba itu tertarik untuk hanya mengunjungi teratak indah? Bagi menjawab persoalan kemulian surau usang itu, adalah kerana kandungan di dalamnya. Jikalau sesuatu perkara itu isinya adalah sesuatu yang agung, tinggi maksud dan nilainya, maka kemuliaan itu pasti padanya. Namun, jika sesuatu perkara hanya untuk mengisi keinginan dan keperluan seseorang untuk masa-masa tertentu, ia tidaklah menjadi penting seperti yang difikirkan.
Sama seperti di antara buku panduan manusia dan buku kajian hayat, yang mana satu dipandang mulia oleh seorang hamba? Berdasarkan kepada isinya, sudah pasti buku panduan manusia lebih dipandang mulia, bahkan dicium, dijunjung di atas kepala dan di letakkan pada tempat yang tinggi. Begitulah juga pada jasad tubuh hamba atau kelompok manusia yang kehidupannya penuh diisi dengan pembawaan risalah dari sistem kehidupan tertinggi. Hamba itu lebih mulia di mata sang Pencipta berbanding manusia yang lainnya.
Siapakah individu atau kelompok hamba itu?
Semasa zaman awal munculnya sistem kehidupan tertinggi, sang Pencipta telah memilih suatu jasad yang akan dimuliakan dan dapat membawa risalah. Hal ini bukan sahaja memuliakannya sahaja, malah turut memuliakan kelompok penyahut risalah itu yang asalnya penuh dengan kehinaan dan kejahilan. Semua pasti menyetujui akan kemulian baginda rasul dan pengikutnya, kelompok arab adalah kelompok termulia berbanding kelompok lain, kerana sistem kehidupan tertinggi yang dibawa dalam risalah mereka.
Tanpa kelompok itu, mana mungkin sistem kehidupan tertinggi dari sang Pencipta ini mampu berkembang dan disampaikan pula pada kelompok yang lain. Hal ini kerana, sistem kehidupan tertinggi ini hanyalah suatu teori abstrak sahaja jikalau tanpa tubuh lahiriyah yang mampu menggerakkan praktikalnya. Kelompok itu berperanan menjadi contoh praktikal bagi menunjukkan kesempurnaan sistem kehidupan tertinggi ini, dan menjadi contoh dalam urusan hal jual beli, perundangan, kekeluargaan dan pelbagai lagi.
Adakah risalah tertinggi ini sebenarnya memang tersebar melalui kelompok mulia ini?
Pembawaan oleh kelompok hamba yang dimuliakan itu telah menarik perhatian kelompok manusia yang lain dengan nilai praktikal kehidupan yang tinggi. Kelompok manusia yang terkesan ini akhirnya membentuk suatu kelompok hamba dengan jati diri yang baru. Mereka akhirnya mencapai kemuliaan seperti mana kelompok hamba yang pertama tadi. Kemudian, risalah ini diteruskan mereka dan natijahnya berputar pada hasil yang sama sehingga menguasai dua pertiga dunia.
Sehinggalah sampai ke sebuah tanah di mana lautnya cetek dan manusianya tinggi budi pekertinya. Mereka adalah suatu kelompok manusia yang suka akan kedamaian. Suatu kelompok manusia yang berbeza dari kelompok hamba pertama, yang penuh dengan kecelaan pada asalnya. Mereka sangat senang menerima kelompok hamba itu dengan kebersamaan nilai kedamaian. Mana mungkin tidak, sistem kehidupan tertinggi ini pada asas perkataannya pun adalah kedamaian. Akhirnya, kelompok melayu itu menerima risalah sistem kehidupan tertinggi ini dengan meresapinya dalam jati diri kehidupan mereka.
Maka di tanah itu, siapakah kelompok harapan bagi mengembangkan risalah itu?
Pada hari ini, terdapat suatu kelompok manusia yang lain di tanah itu juga mewarisi jati diri yang cukup tebal dengan nilai yang dibina berdasarkan tamadun mereka terdahulu. Malangnya, nilai yang dibawa mereka bercampur aduk antara mulia dan hina. Tembok jati diri mereka ini sangat sukar dipecahkan kerana berlawanan dengan risalah ini. Namun, hanya satu jalan yang mampu menanam nilai risalah tertinggi ini di dalam kehidupan mereka. Mereka perlu tertarik untuk bergaul dengan kelompok melayu yang mendekatinya.
Bangsa melayu adalah perlu dan akan terus menjadi kelompok harapan dan rujukan bagi risalah sistem kehidupan tertinggi kerana dari pengalaman dan jati dirinya. Antara sebab utamanya adalah kerana jati diri kehidupan mereka yang cukup tebal dengan risalah ini. Apabila berbicara mengenai kelompok hamba melayu itu, ia tidak dapat dipisahkan antara kehidupan mereka dengan risalah. Cuma pada hari ini, kelompok itu perlu kembali bersatu dengan mengingati amanah risalah yang dibawa. Mereka sebenarnya sedar di dalam fitrah mereka bahawa risalah ini tidak dapat dipisahkan dari kehidupan mereka.

0 comments:
Post a Comment