Selain Tunduk Juga Memimpin
Pagi, petang, siang, malam tidak lelah panggilan itu mengajak hamba-hamba itu supaya tunduk pada pencipta. Tidak kira di mana berada dan tidak kira bila masa, panggilan itu tetap wujud di sekeliling dunia. Setelah itu, hamba-hamba itu datang menyahut tanpa sebarang pilihan. Kemudian, hamba-hamba itu tunduk dan merapatkan dahi ke bumi sambil melafazkan kata-kata mengagungkan pencipta.
Apakah panggilan dan bentuk tindak balas yang dilakukan oleh hamba-hamba itu?
Panggilan itu adalah panggilan azan yang menyedarkan hamba-hamba yang sedang leka daripada mengingati pencipta. Manakala tindak balas hamba-hamba yang berupa penyerahan diri secara keseluruhan itu pula adalah ibadat solat, iaitu suatu upacara yang menghinakan diri dan melafazkan kata-kata yang mengagungkan pencipta. Upacara ini terus kekal diwarisi oleh hamba-hamba itu dari zaman ke zaman hinggalah ke hari ini.
Namun, adakah hamba-hamba itu sedar di dalam setiap kata panggilan itu dan di dalam setiap lafaz pengagungan itu terdapat kata-kata keramat yang besar makna hakikatnya. Kata-kata yang cukup tidak senang duduk dibuatnya kerana ia bukan sekadar kata-kata tapi memerlukan jiwa dan raga untuk melaksanakannya. Kata-kata yang menjadi kunci pada keagungan pencipta dan merendahkan yang lain.
Apakah sebenarnya kata-kata keramat di dalam ibadat hamba-hamba itu?
Kata-kata sakti itu adalah sebuah kata-kata tauhid yang membezakan hamba-hamba itu dari yang lain, iaitu 'kalimah syahadah'. Kalimah syahadah merupakan kata-kata yang tidak asing lagi di muka bumi ini samada di dalam panggilan azan yang sebanyak 5 kali sehari mahu pon di dalam lafaz-lafaz solat yang sebanyak 9 kali sehari. Kata-kata keramat itu adalah "Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad itu utusan Allah"
(لا إله إلا الله, محمد رسول الله).
Tetapi, apakah yang difahami oleh hamba-hamba itu di dalam kalimah syahadah "La ilaha illa Allah, Muhammad rasul Allah"? Adakah hamba-hamba itu benar-benar faham di dalam kerelaan mereka melafazkan kalimah itu setiap hari? tidakkah mereka menyedari tentang kefahaman sebenar tentang kata-kata keramat itu adalah untuk meletakkan sistem kehidupan mereka sebagai sistem tertinggi?
Adakah mungkin hamba-hamba ini sedang ingkar di dalam ketaatan?
Di sebalik kata-kata "tiada tuhan melainkan Allah" adalah bermakna, Dialah yang tertinggi dan tiada siapa yang setaraf denganNya. Apabila Allah adalah yang tertinggi maka padanya kuasa pada segala sesuatu. Antara kuasaNya adalah menentukan sistem dan undang-undang yang perlu digunakan oleh hamba-hambanya. Allah mengetahui segala hal ciptaanNya kerana semua kewujudan ini adalah dari Dia.
Manakala, kata-kata "Muhammad itu utusan Allah" pula bermakna, nabi Muhammad itu adalah daripadaNya. Apabila sesuatu itu dari Allah, maka kita tidak dapat menolak baginda bahkan menerima apa yang dibawa oleh baginda. Apa yang dibawa oleh baginda adalah 'sistem kehidupan'. Ia merupakan sebuah sistem yang sempurna dan menyeluruh, bahkan bersih dari hawa nafsu dan kelemahan hamba-hamba kerana asal usulnya adalah dari Allah. Sistem kehidupan inilah yang dikenali sebagai agama Islam.
Apakah tugas sebenar hamba-hamba, sedari dari hakikat itu?
Setelah memahami hakikat sebenar ini, telah wujud sebuah tugas yang lain pada hamba-hamba itu iaitu memimpin. Mereka juga perlu menjadi seorang pemimpin kerana, sebenarnya kalimah syahadah ini telah menuntut mereka untuk menjadi hamba kepada Allah dan pada masa yang sama memimpin dunia dengan sistem kehidupan tertinggi yang dibawa oleh baginda nabi Muhammad (SAW). Mereka tidak sepatutnya membiarkan diri mereka tinggal di dalam sistem kehidupan yang lain.
Apabila mereka mula menjalankan tugas sebagai hamba dan memimpin, maka barulah mereka boleh digelar sebagai muslim yang sejati. Hal ini kerana mereka melaksanakan apa yang telah dituntut oleh kata-kata keramat; kalimah syahadah itu. Namun begitu, mereka perlu memimpin ummat ini dengan tunduk menghambakan diri kepada kekuasaan Allah, bukan memimpin melepasi batas kekuasaan Allah. Mereka harus memimpin dengan sistem kehidupan dari Allah iaitu yang dibawa oleh baginda nabi Muhammad (SAW).
Apakah mungkin sistem kehidupan yang dibawa seorang hamba melepasi batas kekuasaan Allah?
Terdapat keadaan di mana, hamba-hamba ini cuba menjadi pemimpin dengan mengajak manusia yang lain mengabdikan diri kepada Allah, tetapi tidak mengikut sistem kehidupan yang dibawa oleh baginda nabi. Hal ini boleh terjadi secara sedar atau pon tidak, apabila mereka mencampur adukkan sistem kehidupan ini dengan hawa nafsu dan kepentingan diri mereka. Hal ini, ternyata membawa kepada kelemahan dan ketidak sempurnaan sistem kehidupan tersebut.
Antara sistem-sistem lain yang wujud mencabar batas kekuasaan Allah adalah seperti fahaman Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya. Mereka meletakkan hawa nafsu dan akal fikiran mereka melebihi ketinggian sistem kehidupan Islam. Apabila mereka cuba melawan sesuatu yang telah Allah tetapkan, maka mereka telah mendakwa diri mereka memiliki sifat ketuhanan. Ini adalah suatu dosa besar dan jenayah yang amat berat yang patut dijauhi dan disedari oleh seorang hamba.
Bagaimana kecelaruan sistem ini akan mengesani kehidupan manusia?
Sistem kehidupan tertinggi ini diibaratkan seperti sebuah pohon. Apabila muncul tangan-tangan yang ingin mengambil sebahagian sahaja daripada pohon ini dengan memotongnya, maka ia tidak akan berupa sebagai sebuah pohon lagi. Malah gelarannya juga bukan lagi pohon tetapi hanya sebagai batang, dahan, ranting atau apa-apa nama yang sebahagian dari pohon itu. Pohon yang cantik dan teduh memayungi mereka itu, dirosakkan demi menjaga kepentingan hanya sebahagian kelompok-kelompok manusia tertentu.
Kemudian, mereka mengambil bahagian-bahagian pohon itu untuk dibuat suatu bentuk, dilekatkan dan diketuk paku padanya untuk menjadi sesuatu benda yang lain mengikut citarasa mereka. Ya, ia berfungsi untuk beberapa masa kegunaan manusia, namun apabila sudah rosak, mereka sendiri akan membuang atau memusnahkannya. Begitulah yang akan terjadi kepada sistem-sistem yang lain ini, ia tidak akan kekal kerana hanya mengambil sebahagian sahaja daripada sistem kehidupan ini. Maka, berpeganglah kepada sistem kehidupan yang sebenar iaitu Islam.

0 comments:
Post a Comment