Larutan Dari Bahan Larut Terbaik
Melihat kepada realiti masyarakat hari ini, sebagai ibu bapa pasti menginginkan anak-anak mereka dididik dengan ajaran Islam yang sebenar. Ibu bapa yang faham pasti mengharapkan anak-anak mereka dijauhi dari kesesatan fahaman-fahaman falsafah dan agama yang wujud di zaman ini. Orang-orang terdahulu ada menyebut; "bayi yang baru lahir itu bersih ibarat kain putih, maka kitalah yang akan mencorakkannya". Namun, cabaran mendidik seseorang manusia itu cukup sukar kerana:
"Manusia itu ibarat cecair 'Pelarut' yang melarutkan apa sahaja 'Bahan' yang masuk ke dalam hidupnya."
Terdapat pelbagai fahaman-fahaman fasafah dan agama yang tercipta hasil daripada kegagalan sistem agama di barat dalam mentadbir kehidupan manusia pada masa lalu. Antara contoh-contoh fahaman tersebut adalah seperti Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme, Sosialisme dan sebagainya. Bagi mereka yang jelas kefahaman agamanya, pasti mengetahui bahawa menerima sistem kehidupan selain daripada Islam adalah suatu perkara yang menyalahi kehendak Allah.
"Barangsiapa yang mencari agama (diin) selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" (3. Ali Imran : 85)
Umum mengakui dan mengetahui bahawa kesemua fahaman-fahaman yang bertentangan dengan islam perlu ditolak. Namun, timbul satu persoalan di kalangan masyarakat; "Apakah yang lebih bahaya dan terlebih dahulu perlu dihalang di antara 'Sekularisme' atau 'Pluralisme' jikalau perlu memilih di antara keduanya?" Bagi menjawab persoalan tersebut, kedua-dua fahaman tersebut perlulah diselidik dengan baik, yang mana satu lebih kurang mudharatnya.
Sekularisme Dalam Kehidupan Manusia
Sekularisme dari segi bahasa berasal daripada perkataan Latin; 'Saeculum' yang bermaksud 'Masa' iaitu "kini dan zaman ini" dan 'Tempat' yakni "dunia ini". Ia juga membawa maksud satu generasi atau zaman. Manakala dari segi istilah pula, sekularisme merupakan satu fahaman falsafah atau sistem yang memisahkan urusan dunia samada urusan pemerintahan, pendidikan dan lain-lain urusan pentadbiran daripada urusan-urusan agama. Sistem ini menolak peranan agama dan Tuhan daripada segala urusan manusia.
Pemisahan di antara agama dari kehidupan ini boleh diandaikan seperti memisahkan 'Bahan Larut' dari 'Pelarut' yang akhirnya gagal untuk menghasilkan satu 'Larutan' yang sempurna. Kehidupan manusia telah menjadi kosong dari panduan Ilahi akibat daripada sistem sekular yang telah lama meresap ke dalam diri manusia ini. Hal ini tidak lain adalah hasil daripada strategi penjajah barat ke atas tanah air ini dalam menjarakkan manusia dari tuhan serta menjadikan mereka lalai dengan kehidupan mengikut kehendak diri sendiri.
Melalui pemahaman contoh di atas, penyelesaian bagi permasalahan ini adalah agak mudah. Secara teorinya, bagi mendapatkan 'Larutan' yang sempurna, 'Bahan Larut' yang terpisah hanya perlu ditambah ke dalam 'Pelarut' yang masih kosong itu tadi. Cuma secara realitinya, manusia sebagai 'Pelarut' sangat mudah terpengaruh dan melarutkan apa sahaja benda di dalam kehidupan mereka. 'Bahan Larut' yang dicari juga tidak dapat dipastikan keaslian atau kecemarannya. Agama yang telah bercampur pasti akan menyukarkan lagi keadaan ummat ini.
"Penyelesaian yang mudah jangan dipayahkan dengan menambah masalah yang baru. Islam adalah penyelesaiannya, maka kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah."
Pluralisme Dalam Kehidupan Manusia
Pluralisme dari segi bahasa berasal daripada perkataan; 'Plural' yang bermaksud 'Kemajmukan' iaitu "Kepelbagaian". Manakala dari segi istilah pula, pluralisme adalah satu fahaman yang mengakui dan meresapi kepelbagaian dalam suatu kelompok masyarakat. Kepelbagaian di sini dilihat dari segi keturunan, budaya, agama dan sebagainya. Ia kelihatan baik dan sesuai dengan situasi tanah air, tetapi masalahnya adalah pada "meresapi kepelbagaian agama" yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.
Kepelbagaian agama ini juga boleh difahami dengan menyama-tarafkan agama-agama dalam kehidupan manusia. Hal ini boleh diandaikan seperti mencampur adukan 'Bahan Larut' di dalam 'Pelarut' yang akhirnya menghasilkan 'Larutan' yang salah. Kehidupan manusia akan menjadi sesat dari panduan Ilahi akibat daripada kekeliruan agama di dalam masyarakat; antara wahyu dan penyelewengan akal. Fahaman pluralisme akhirnya berkembang menjadi suatu bentuk agama baru dalam sesebuah masyarakat.
Melalui pemahaman contoh di atas, penyelesaian bagi permasalahan ini adalah agak sukar. Secara teorinya, bagi mendapatkan 'Larutan' yang betul, 'Bahan Larut' yang bercampur perlu dipisahkan terlebih dahulu dan barulah boleh ditambah ke dalam 'Pelarut'. Di samping itu, 'Bahan Larut' juga perlulah melalui proses penulenan atau ditapis terlebih dahulu sebelum ditambah ke dalam 'Pelarut' tersebut. Jelas sekali, keadaan menjadi semakin rumit dan memerlukan banyak proses-proses tersebut yang ternyata menyukarkan penyelesaiannya.
Kesimpulannya, kedua-dua fahaman tersebut perlu dihalang dan ditolak bagi mendapatkan satu 'Larutan' yang betul dan sempurna. Namun, perlu difahami bahawa 'Larutan' yang salah sukar untuk diubah lagi berbanding 'Larutan' yang tidak sempurna. Di samping itu, walaupun ada suatu 'Bahan Larut' yang hampir kepada Islam, namun mengapakah perlu ia menjadi alasan untuk tidak memilih Islam untuk menaikan Islam? Teguhkanlah keyakinan dengan jalan yang ditunjukkan oleh Ar-Rasul di dalam sirah perjuangannya.
Kesimpulannya, kedua-dua fahaman tersebut perlu dihalang dan ditolak bagi mendapatkan satu 'Larutan' yang betul dan sempurna. Namun, perlu difahami bahawa 'Larutan' yang salah sukar untuk diubah lagi berbanding 'Larutan' yang tidak sempurna. Di samping itu, walaupun ada suatu 'Bahan Larut' yang hampir kepada Islam, namun mengapakah perlu ia menjadi alasan untuk tidak memilih Islam untuk menaikan Islam? Teguhkanlah keyakinan dengan jalan yang ditunjukkan oleh Ar-Rasul di dalam sirah perjuangannya.
"Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?" (5. Al-Maidah : 50)_____________________________________________________________________________________
Nota:
- Solvent: Pelarut
- Solute: Bahan yang dilarut
- Solution: Larutan



0 comments:
Post a Comment